Wednesday, March 4, 2009

Opening of UKM's Kolej Ibrahim Yaakub E-Fest 2002 By Datuk Amar Leo Moggie on 18/1/2002

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para siswa-siswi Kolej Ibrahim Yaakub, UKM kerana telah menjemput saya untuk sama-sama meraikan e-Fest sempena Hari Keluarga kolej pada malam ini. Aktiviti-aktiviti sebegini yang dilaksanakan untuk mempertingkatkan kefahaman warga kampus mengenai teknologi informasi dan maklumat atau ICT serta juga untuk membantu membudayakan penggunaan ICT dalam aktiviti harian dan proses pembelajaran pelajar, adalah amat dialu-alukan. Ini adalah kerana kemajuan negara dan masyarakat kita bergantung kepada keupayaan kita untuk menguasai ilmu dan pengetahuan.

Oleh itu, sebagai pemimpin masa hadapan negara, para pelajar perlu serius menimba pengetahuan, di samping memberi tumpuan kepada usaha-usaha untuk menguasai pelbagai cabang ilmu. Di dalam hal ini, kita sedia maklum bahawa dalam era digital ini, proses pembelajaran dan pencapaian ilmu dan pengetahuan tidak lagi terhad kepada dewan kuliah atau bilik darjah semata-mata. Kewujudan ICT sebagai suatu alat atau saluran strategik membolehkan kita memperolehi pelbagai bentuk informasi dan maklumat tanpa batasan masa dan sempadan. Contohnya, komputer peribadi atau PC sebagai alat pendidikan dan pembelajaran kini dianggap sebagai ejen perubahan. Selain PC, begitulah juga dengan peranan Internet di dalam memberikan akses kepada informasi, contohnya kepada sekolah-sekolah dan juga komuniti-komuniti di dalam masyarakat. Hasilnya, pada hari ini, kita dapati bahawa konsep pembelajaran telahpun berubah dan berkembang untuk meliputi kaedah-kaedah baru seperti e-learning, distance learning, video conferencing, smart school, cyber university dan sebagainya. Begitulah juga dengan usaha kita di dalam membangunkan program-program Internet Desa dan projek-projek e-community di negara kita ini.

Sehubungan ini dan selaras dengan tema e-Fest 2002, iaitu ‘Informasi Teras Kemajuan Masa Depan’, kita berharap aktiviti sebegini akan dapat memberi pendedahan serta pengetahuan berguna kepada para siswa tentang peranan dan kepentingan ICT di dalam menjayakan usaha kita untuk mewujudkan para pelajar yang berilmu bagi menghadapi cabaran-cabaran era globalisasi. Di dalam hal ini, penguasaan kemahiran teknologi maklumat serta kepantasan dan kecekapan menyaring dan menilai maklumat serta mengambil tindakan yang sesuai adalah amat penting.

Ini adalah kerana teknologi hanyalah merupakan alat. Berdasarkan hakikat ini, kita perlu sedar bahawa teknologi sebagai alat bukan sahaja mengandungi maklumat dan informasi yang baik atau positif, tetapi boleh juga disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk menyalurkan informasi yang negatif, tidak tepat, menghasut dan memfitnah bertujuan untuk memudaratkan keharmonian dan kestabilan negara kita.

Oleh itu, adalah penting bagi para siswa kita sebagai pengguna ICT untuk dapat membezakan “antara kaca dan permata” - antara informasi yang benar dan informasi yang negatif dan berbentuk fitnah. Ini sudah tentunya, antara lain, memerlukan kebijaksanaan, kematangan serta rasa tanggungjawab dan kasih kepada diri sendiri, masyarakat dan negara.

Ke arah ini, e-FEST 2002 juga boleh menjadi suatu saluran yang baik untuk mendekatkan warga kampus dengan wawasan Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dalam bidang komunikasi dan multimedia. Ini termasuklah memahami tumpuan dan kepentingan yang diberikan kepada projek Koridor Raya Multimedia atau MSC sebagai catalyst di dalam menggerakkan halatuju kita untuk mnjadikan Malaysia negara maju sejajar dengan Wawasan 2020.

Sebagai sebuah “green area” yang kaya dengan insentif-insentif bagi menggalakkan percambahan kreativiti dan inovasi, kejayaan projek MSC ini bergantung bukan sahaja kepada pelaburan asing, tetapi juga kepada penyertaan, penglibatan dan pembinaan kepakaran tempatan yang berpotensi untuk bersaing di pasaran antarabangsa. Dan kita yakin bahawa di negara kita ini terdapat ramai di kalangan para pelajar kita yang berpotensi untuk mengharumkan negara di dalam bidang komunikasi dan multimedia atau ICT, melalui penghasilan ciptaan yang inovatif dan kreatif.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Agenda ICT negara adalah bertujuan untuk mewujudkan masyarakat berpengetahuan, bermaklumat dan berbudaya ICT. Bagi memastikan agenda ini mencapai kejayaan, berjuta-juta Ringgit telah diperuntukkan khas untuk program-program ICT. Ini dapat kita lihat berdasarkan Belanjawan 2002 yang telah dibentangkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri kita. Ini termasuklah untuk melaksanakan Aplikasi Perdana Kerajan Elektronik, Sekolah Bestari, Teleperubatan, Kad Pintar, Integrasi Aplikasi serta juga untuk meningkatkan program pengkomputeran di kementerian dan jabatan kerajaan serta untuk pegkomputeran sekolah-sekolah. Ini menunjukkan betapa seriousnya Kerajaan di dalam merealisasikan objektif menjadikan negara kita negara yang maju berasaskan pengetahuan.

Kita pasti komuniti kampus boleh membekalkan kepimpinan yang diperlukan di dalam membantu merealisasikan objektif Kerajaan untuk menggalak dan membudayakan penggunaan ICT secara yang positif dan berkesan di kalangan warga kampus khususnya dan rakyat secara amnya.

Akhir kata saya berharap agar e – FEST 2002 berjaya mencapai objektifnya dan seterusnya merealisasikan hasrat negara dalam melahirkan graduan yang berinformasi demi kemajuan negara pada masa hadapan.

Dengan itu, saya dengan sukacitanya merasmikan e – FEST 2002.

No comments:

Post a Comment

Digital Clock with Islamic Ornament